| Kredit: Wikipedia |
KUALA LUMPUR – Dua buah masjid di Wilayah Persekutuan akan dijadikan sebagai Pusat Transit Mangsa Keganasan Rumah Tangga. Langkah ini ialah yang pertama kali diadakan di Malaysia.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 12 buah masjid lagi akan menyediakan khidmat bimbingan nasihat kepada mangsa keganasan rumah tangga.
Semua masjid yang terlibat juga akan berfungsi memberikan perlindungan sementara, makanan dan minuman selain memberi khidmat nasihat dan kaunseling.
“Impak pandemik memperlihatkan banyak kes-kes berkaitan, meningkat. Masjid perlu diberi peranan sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW dan zaman kegemilangan Islam,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atas kerjasama yang diberikan untuk menangani kes berkaitan keganasan rumah tangga yang meningkat susulan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Masjid-masjid yang terlibat ialah seperti berikut:
1. Masjid Wilayah persekutuan
2. Masjid Al-Ghufran Taman Tun Dr Ismail (TTDI)
3. Masjid Al-Imam al-Ghazali
4. Masjid Al-Qurtubi
5. Masjid Amru Ibn- Al-Ass
6. Masjid Salahuddin Al-Ayubbi
7. Masjid Al-Imam Asy Syafie
8. Masjid Ar Rahimah
9. Masjid Jameul Ehsan
10.Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah
11. Masjid Al-Muqarrabin
12. Masjid Az Zubair Ibn Awwam
13. Masjid Ar Rahman dan
14. Mashid Al-Ikhlasiah.
Katanya lagi, usaha ini akan dikembangkan ke negeri-negeri lain dan walaupun pusat transit ini dilaksanakan di masjid, namun ia turut terbuka kepada bukan muslim.
Sumber: MalaysiaGazette
0 Comments