Ad Code

Responsive Advertisement

PERLAKSANAAN PEMANTAUAN PENSIJILAN HALAL MALAYSIA SEPANJANG TEMPOH PANDEMIK COVID-19.


Bagi memastikan syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sentiasa mematuhi standard dan prosedur yang ditetapkan, pemantauan pensijilan halal akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa. Syarikat yang beroperasi di negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga tidak terkecuali daripada pemeriksaan pemantauan. 


Susulan itu, JAKIM mengambil inisiatif untuk memperluaskan kaedah pemeriksaan sama ada secara virtual (maya) atau secara fizikal seperti biasa. Prosedur pemantauan akan meliputi semua keperluan yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.  


Selaras dengan prosedur yang ditetapkan, pemantauan akan dijalankan tanpa pemakluman awal. Oleh itu, Eksekutif Halal atau pegawai yang menguruskan hal-hal pensijilan halal syarikat dan jawatankuasa halal dalaman syarikat hendaklah sentiasa bersedia. Pihak syarikat hendaklah mengemaskini waktu operasi dan maklumat pegawai yang boleh dihubungi semasa PKP dalam sistem MYeHALAL bagi memudahkan urusan pemeriksaan. 


Sekiranya syarikat atau kilang atau premis yang dipersijilkan halal ditutup atau tidak beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh PKP, pihak syarikat hendaklah mengemukakan surat makluman secara rasmi kepada Cawangan Pemantauan & Penguatkuasaan Bahagian Pengurusan Halal JAKIM untuk mengelakkan tindakan diambil.


Bagi syarikat yang dipilih untuk pemeriksaan secara maya, Eksekutif Halal atau pegawai yang dinamakan oleh pihak syarikat  berdasarkan maklumat dalam sistem MYeHALAL akan dihubungi oleh pegawai pemeriksa JAKIM untuk persediaan peralatan komunikasi. Pihak syarikat perlu menyediakan sekurang-kurangnya satu peranti komunikasi dan  webcam dengan rangkaian internet yang lancar. 


Pemeriksaan secara maya atau dalam talian akan dilaksana menggunakan medium komunikasi dalam talian yang tersedia seperti Google Meet, Zoom, Skype dan sebagainya. Proses pelaporan dan notis-notis pemeriksaan akan dikeluarkan dalam bentuk salinan skrin (soft copy) dan dikemukakan kepada kedua-dua pihak (JAKIM dan syarikat)  melalui e-mel.


Skop pemeriksaan akan melibatkan pemeriksaan dokumen dan keseluruhan premis. Bagi tujuan pemeriksaan dokumen, pihak syarikat hendaklah memastikan rekod-rekod pensijilan halal dikemaskini, termasuk maklumat-maklumat berikut: 


📝Profil syarikat


📝Lesen SSM


📝Lesen PBT


📝Sijil Halal Syarikat yang dipantau


📝Sijil-sijil berkaitan seperti HACCP, GMP, ISO dan lain-lain (sekiranya ada)


📝Rekod Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) / Sistem Kawalan halal Dalaman (IHCS)


📝Rekod latihan halal/ Mesyuarat Jawatankuasa Halal


📝Sijil Halal/ MSDS/ Spesifikasi Produk Bahan Mentah


📝Label Pembungkusan bagi kesemua produk


📝Invois/ DO/PO/ Resit bagi Bahan Mentah


📝BMR (Batch Manufacturing Product)


📝Laporan analisis produk atau bahan ramuan (sekiranya perlu)


📝Dokumen Halal Certification Agreement (HCA)


📝Senarai MAL/Not Num. mengikut kesesuaian


Semua pemegang SPHM dinasihatkan supaya kekal komited untuk mematuhi prosedur dan piawaian pensijilan halal Malaysia dengan merujuk Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.


▶️Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung dengan:-


🧕🏻 Puan Nurul Ilani binti Mad Hashim

📧ilani@islam.gov.my & cppbph@gmail.com

☎️03-88925023


Terima kasih


"Yakini Halal Malaysia"


Seksyen Komunikasi Korporat

Bahagian Pengurusan Halal

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

📧pr_halal@islam.gov.my

☎️03-88925000/1

http://bit.ly/FBHABHALAL

22 Rejab 1442H

06 Mac 2021M


#HalalMalaysiaHaveFaith

#MusaadahCovid19

#AgainstCovid19


Sumber: Jakim

Post a Comment

0 Comments